Isnin, Mei 26, 2008

Stacy Juara AF6 yeah!


DIA sendiri tidak pernah menyangka akan mengecapi nikmat yang paling manis dalam hidupnya setelah dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada tarikh keramat 24 Mei 2008.

Apa yang dilakukan semuanya atas nama cinta yang amat mendalam pada bidang muzik yang sudah sebati dalam hidupnya.

Namun, dia berikrar untuk berusaha menjadi penyanyi yang berilmu dan perjalanan seninya juga kini baru bermula.

Tekadnya hanya satu, mahu membantu keluarga yang telah banyak berkorban dan dia juga mahu melihat mereka gembira serta sama-sama mengecapi nikmat kemenangan yang diraihnya.

Stracie Angie Anam atau lebih popular dengan nama komersialnya, Stacy mempunyai 1001 sebab untuk gembira dengan gelaran juara AF6 yang sememangnya menjadi idaman ramai.

Dengan peratusan undian sebanyak 43 peratus daripada 879,000 undian yang diterima sewaktu konsert akhir AF6 berlangsung, tiada siapa yang mampu berani mengekang kehebatan Stacy yang ternyata tiada tandingannya.

Bermula daripada konsert mingguan pertama yang berlangsung pada 22 Mac lalu, persembahan Stacy tidak pernah mengecewakan para peminatnya.

Dia akan melakukan yang terbaik dalam setiap persembahan kerana mahu membuktikan kehadirannya di dalam AF6 bukanlah sekadar mengejar populariti tetapi lebih kepada menonjolkan bakatnya.

Memang benar. Berilah apa sahaja lagu kepadanya dan dia akan menterjemahkan sehingga lagu tersebut seolah-olah miliknya yang sebenar.

Malah, pada malam konsert akhir itu juga, dia menyampaikan lagu Atas Nama Cinta (dendangan asal Rossa) dan sebuah lagu baru, Aku Stacy, dengan cukup bertenaga dan mantap sekali.

Melihatkan persembahannya di atas pentas akhir itu, memang tidak syak lagi bahawa Stacy sememangnya dilahirkan sebagai seorang penghibur.

Beraksi lincah dan dikurniakan vokal yang mantap sememangnya menjadi kelebihan buat Stacy, sekali gus menghampakan empat finalis lain iaitu Riz, Nubhan, Toi dan Nadia untuk bergelar juara AF6.

Menyingkap sejarah perjalanan hidup Stacy, kehidupannya tidak bertuah seperti rakan-rakannya yang lain.

Dilahirkan pada 18 Ogos 1990 di Kota Kinabalu, Sabah, dalam keluarga yang agak besar. Anak kelima daripada enam adik-beradik ini sebenarnya mempunyai kisah yang menarik untuk dikongsi bersama.

Peminat setia penyanyi Christina Aguilera dan naib juara AF3, Felix Agus ini, terpaksa berhenti sekolah pada umur 17 tahun dan waktu itu tiada siapa yang tahu apa yang terbuku di dalam hatinya.

Ketika ditanya tentang alasannya berhenti sekolah sebelum menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), dengan jujur Stacy membuka lembaran hidupnya kepada pihak media.

“Saya datang daripada keluarga yang susah dan ketika itu juga, keluarga saya menghadapi masalah kewangan yang tidak dapat dibendung lagi.

“Lantas, saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan bekerja bagi menampung kehidupan keluarga saya. Namun, saya sudah berikrar, apabila masa yang sesuai nanti, saya akan mengambil juga peperiksaan SPM,” ujarnya penuh makna.

Jelasnya, kemenangan itu sememangnya akan dikongsi bersama keluarga tercinta dan kalau boleh, dia mahu mereka semuanya datang ke Kuala Lumpur dan tinggal bersamanya.

“Apa yang cukup membanggakan saya adalah apabila saya berjaya mengharumkan nama negeri kelahiran saya, Sabah, dengan menjadi pelajar pertama dari negeri itu dinobatkan dengan gelaran juara.

“Saya tidak pernah berhadapan dengan perasaan sebegini dan barulah saya tahu bagaimana perasaan juara AF yang lain saat nama mereka dinobatkan sebagai juara,” tambahnya.

Malah, kemenangannya sebagai juara AF6 juga bukanlah menjadi satu alasan untuk terus bergoyang kaki tanpa berusaha lebih gigih dalam menempatkan diri sebagai seorang penghibur unggul.

“Saya sedar bukan mudah untuk memperoleh ilmu seperti yang saya kecapi dalam akademi. Oleh kerana itu, saya berasa cukup bertuah dan bersyukur kerana saya berjaya diterima di AF6.

“Selepas ini, saya akan cuba untuk mengejar ilmu sebanyak mungkin untuk melengkapi hidup sebagai seorang penyanyi dan penghibur. Malah, saya juga sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai situasi yang saya tahu cukup mencabar di luar sana,” kata anak pasangan Anam Bayar dan Agnes Kallos ini.

sumber : Utusan Malaysia n blog klubbkidd

ketupat bersama sizu : haha gelak2 sakan ade org tu expect dpt jd top 3..hahaha n tabik spring kat performance stacy..she deserve it to be champion..yeah aramaitiiiiiiiii~

1 ulasan:

u r b a n f x x k berkata...

yupp...tahniah utk stacy walopun xde le follow sgt af nieh..
tp mlm final tuh mmg lagu dia bawak sempoi gile!!claz!